Section Heading


KUL
Kuala Lumpur

Section Heading

 

Section Heading

Section Heading

RM3.7 Juta Disalurkan Untuk Lebih 1,000 Kakitangan Yang Terjejas Banjir

SEPANG– Malaysia Airports telah menyediakan peruntukan sejumlah RM3.7 juta untuk tujuan menolong kakitangan yang terjejas teruk ekoran bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia tempoh hari. Ini termasuk RM3.0 juta yang disalurkan untuk sumbangan wang tunai kepada seramai 1,034 kakitangan Malaysia Airports serta pelbagai jenis bantuan dijalankan semasa banjir masih melanda, antaranya misi menyelamat dan penyediaan penempatan sementara, serta bantuan keperluan asas dan pembersihan kediaman yang terjejas. Di samping itu, sejumlah RM700 ribu juga akan diagihkan melalui program Zakat Wakalah kepada yang berkelayakan, dan usaha akan diteruskan untuk menolong mangsa-mangsa banjir yang menghadapi kesukaran.

img

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, “Sebaik sahaja dimaklumkan akan keadaan kakitangan kami yang terjejas, kami dengan segera mengaktifkan inisiatif bantuan #MYAirportCARES berdasarkan keperluan semasa mereka ketika itu. Antaranya adalah dengan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) yang bertempat di Malaysia Airports Training Centre (MATC). Selain itu, kami juga turut mengaktifkan pasukan tindakan khas yang bertanggungjawab menyelaraskan koordinasi dan bantuan bagi mereka yang terjejas.”

Inisiatif #MYAirportCARES ini juga turut mendapat sambutan di kalangan warga kerja lain yang telah menyahut seruan untuk membantu membersihkan kediaman mangsa-mangsa banjir. Lebih kurang 400 sukarelawan dari pelbagai peringkat termasuk pengurusan tertinggi turut berganding bahu menyumbangkan tenaga mereka untuk membersih sekitar 100 buah rumah setelah air mulai surut dan keadaan kembali reda.

img

“Antara kawasan yang terjejas teruk adalah di Labohan Dagang, Bukit Changgang, Bandar Sri Ehsan, Taman Langat dan Kampung Labu Lanjut di mana ramai kakitangan kami yang terlibat. Sememangnya bencana banjir telah memberi kesan yang teruk kepada mereka, lebih-lebih lagi dengan permulaan tahun baru, saya pasti ramai yang berhadapan dengan perbelanjaan tambahan untuk persekolahan anak-anak. Dari itu, syarikat berharap agar bantuan tambahan wang tunai dapat sedikit sebanyak meringankan lagi beban kakitangan kami, disamping mendoakan agar kakitangan yang terlibat sabar dan tabah menghadapi dugaan ini,” tambah Dato’ Iskandar lagi. 

Sumbangan wang tunai ini telah disampaikan kepada beberapa wakil kakitangan dalam satu majlis kecil bertempat di Pejabat Korporat Malaysia Airports dan ianya dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ketat.